Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC) terletak di dalam sebuah bangunan yang terkenal sebagai satu mercutanda bersejarah dan salah satu hasil senibina yang terkemuka di Kuala Lumpur. Bangunan utama Kompleks ini didirikan pada tahun 1935 sebagai kediaman seorang jutawan perusahaan lombong dan ladang yang bernama Eu Tong Seng. Seperti juga bangunan-bangunan yang lain pada masa itu, bentuk rekaannya banyak menunjukkan ciri-ciri pengaruh senibina kolonial.
Pada tahun 1941, ia digunakan sebagai ibupejabat tentera British. Tidak lama kemudian, apabila Jepun menakluki Malaya, ia dijadikan ibupejabat tentera Jepun sehingga tamatnya Perang Dunia Kedua pada tahun 1945. Apabila Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu yang baru itu mengambil alih bangunan tersebut pada tahun 1956, sebuah dewan persidangan telah dibina sebagai tambahan kepada bangunan asal. Dewan ini dinamakan Dewan Tunku Abdul Rahman sebagai penghormatan kepada Perdana Menteri yang pertama iaitu Yang Teramat Mulia Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.
Beberapa peristiwa bersejarah sering diadakan di sini termasuk Persidangan Parlimen Persekutuan Tanah Melayu yang pertama pada tahun 1959 dan juga upacara-upacara pertabalan Duli Yang Maha Mulia Yang Dipertuan Agong yang Pertama, Ketiga, Keempat dan Kelima. Bangunan utama Kompleks tersebut pula digunakan sebagai Balai Seni Lukis Negara sehingga ia dipindahkan ke lokasi baru.
Pada tahun 1988, beberapa kerja pengubahsuaian telah dijalankan termasuk pembinaan dua anjung baru sebagai tambahan kepada bangunan utama. Namanya pula ditukarkan kepada Kompleks Penerangan Pelancongan atau Malaysia Tourist Information Complex (MATIC). MATIC dibuka kepada orang ramai pada pertengahan bulan Ogos 1989 dan merupakan satu pusat yang menyediakan berbagai perkhidmatan dan kemudahan bagi para pelancong. Selain dari membantu mereka merancang lawatan di Malaysia, ia juga memberi mereka kesempatan untuk melihat dan menikamati segala daya tarikan Malaysia melalui beberapa pementasan dan demonstrasi pelbagai aspek kebudayaan Malaysia. Pada 16 Februari 2001, nama kompleks ini telah ditukarkan kepada Pusat Pelancongan Malaysia atau Malaysia Tourism Centre (Centre).