Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC) terletak di dalam sebuah bangunan yang terkenal sebagai satu mercutanda bersejarah dan salah satu hasil senibina yang terkemuka di Kuala Lumpur. Bangunan utama Kompleks ini didirikan pada tahun 1935 sebagai kediaman seorang jutawan perusahaan lombong dan ladang yang bernama Eu Tong Seng. Seperti juga bangunan-bangunan yang lain pada masa itu, bentuk rekaannya banyak menunjukkan ciri-ciri pengaruh senibina kolonial.
Pada tahun 1941, ia digunakan sebagai ibupejabat tentera British. Tidak lama kemudian, apabila Jepun menakluki Malaya, ia dijadikan ibupejabat tentera Jepun sehingga tamatnya Perang Dunia Kedua pada tahun 1945. Apabila Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu yang baru itu mengambil alih bangunan tersebut pada tahun 1956, sebuah dewan persidangan telah dibina sebagai tambahan kepada bangunan asal. Dewan ini dinamakan Dewan Tunku Abdul Rahman sebagai penghormatan kepada Perdana Menteri yang pertama iaitu Yang Teramat Mulia Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.
Beberapa peristiwa bersejarah sering diadakan di sini termasuk Persidangan Parlimen Persekutuan Tanah Melayu yang pertama pada tahun 1959 dan juga upacara-upacara pertabalan Duli Yang Maha Mulia Yang Dipertuan Agong yang Pertama, Ketiga, Keempat dan Kelima. Bangunan utama Kompleks tersebut pula digunakan sebagai Balai Seni Lukis Negara sehingga ia dipindahkan ke lokasi baru.
Pada tahun 1988, beberapa kerja pengubahsuaian telah dijalankan termasuk pembinaan dua anjung baru sebagai tambahan kepada bangunan utama. Namanya pula ditukarkan kepada Kompleks Penerangan Pelancongan atau Malaysia Tourist Information Complex (MATIC). MATIC dibuka kepada orang ramai pada pertengahan bulan Ogos 1989 dan merupakan satu pusat yang menyediakan berbagai perkhidmatan dan kemudahan bagi para pelancong. Selain dari membantu mereka merancang lawatan di Malaysia, ia juga memberi mereka kesempatan untuk melihat dan menikamati segala daya tarikan Malaysia melalui beberapa pementasan dan demonstrasi pelbagai aspek kebudayaan Malaysia. Pada 16 Februari 2001, nama kompleks ini telah ditukarkan kepada Pusat Pelancongan Malaysia atau Malaysia Tourism Centre (Centre).
Bangunan ini asalnya tidaklah sebesar yang terdapat sekarang. Bangunan ini telah ditokok tambah beberapa kali seperti yang kelihatan hari ini. Bangunan asal telah dibina dalam tahun 1935 oleh Encik Eu Tong Sen seorang pelombong dan pengusaha ladang getah yang terkenal dan kaya di Kuala Lumpur ketika itu untuk kegunaan dan kediaman keluarganya.Bangunan ini dibina di atas tanah seluas 2.6 hektar yang dahulunya adalah bekas kebun rambutan. Bangunan ini telah dibina oleh tukang-tukang yang mahir dalam selok-belok pertukangan dan pembinaan.
Mereka ini dikenali sebagai "Master Builders" dan kepandaian pertukangan yang ada pada mereka adalah hasil pengalaman praktikal mereka yang lama dalam bidang tersebut. Bangunan ini seperti juga kebanyakan bangunan persendirian ketika itu tidak menggunakan khidmat seorang arkitek yang terlatih. Pada masa itu hanya terdapat pegawai-pegawai Inggeris dalam perkhidmatan kerajaan sahaja yang terlibat dalam pembinaan bangunan-bangunan kerajaan.
Semasa meletus Perang Dunia Kedua dan sebaik saja tentera Jepun mendarat di Malaya, bangunan ini telah diambilalih oleh Pentadbiran Inggeris untuk dijadikan markas tentera mereka di Kuala Lumpur. Apabila pihak Jepun menguasai Kuala Lumpur, mereka telah mengambilalih bangunan ini dan menjadikannya juga sebagai markas tentera Jepun pula.Apabila Jepun tewas dalam tahun 1945, bangunan ini bertukar tangan semula kepada pihak berkuasa Inggeris, yang menjadikannya markas gerisen tentera mereka di Kuala Lumpur sehingga 1956. Dalam tempoh ini iaitu pada 24 Februari, 1948 telah berlangsung satu peristiwa bersejarah di bangunan ini iaitu Mesyuarat Pertama Majlis Perundangan Persekutuan bagi Persekutuan Tanah Melayu.
Semasa Persekutuan Tanah Melayu sedang giat berusaha melengkapkan diri menjelang Kemerdekaan, bangunan ini turut terlibat memainkan peranannya. Bangunan ini telah dipilih sebagai markas Tentera Persekutuan yang bertangguangjawab ke atas penubuhan dan pembangunan satu angkatan tentera bagi Persekutuan Tanah Melayu yang merdeka. Pada 15 Julai, 1956 bangunan ini dengan rasminya telah dijadikan Markas Tentera Persekutuan dan orang yang melakukan perasmian ini adalah Major Jeneral F.H Brooks seorang pegawai Inggeris yang telah dilantik sebagai Panglima Angkatan Tentera Persekutuan. Beberapa mesyuarat penting yang berkaitan dengan dasar awal ketenteraan negara telah diadakan di bangunan ini semasa ia menjadi Markas Tentera Persekutuan.
Selepas kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu pada 31 Ogos, 1957 bangunan ini turut terlibat memainkan peranan untuk mengisi keperluan-keperluan negara yang sudah Merdeka. Kerana Kerajaan yang memerintah memerlukan ruang-ruang baru untuk jabatan-jabatan yang diwujudkan dan mesyuarat-mesyuarat peringkat antarabangsa yang akan diadakan, tindakan-tindakan telah diambil untuk mengubahsuai bangunan ini sebagai ruang pejabat dan tempat mesyuarat.
Antara langkah awal ke arah ini yang telah diambil ialah memindahkan Markas Tentera Persekutuan dari bangunan ini ke tempat barunya di Sungai Udang Melaka dalam tahun 1958.
Usaha juga turut dibuat untuk membina sebuah dewan yang menghubungi bangunan ini bagi kegunaan mesyuarat peringkat kebangsaan dan antarabangsa serta acara-acara rasmi yang lain. Jabatan Kerja Raya telah diberikan tanggungjawab melaksanakan pembinaan projek ini dan mereka telah ditugaskan untuk merancang dan menyediakan pelan bagi dewan ini terdiri daripada dua arkitek Jabatan tersebut iaitu Encik Dinsdale dan En. Shipley serta En. Jewkes, Timbalan Pengarahnya. Kos pembinaan Dewan ini menelan belanja sebanyak RM750,000.00.
Dewan ini telah dibuka dengan rasminya oleh Y.T.M. Tunku Abdul Rahman Putra, Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu pada 24 Februari 1958. Dewan ini diberi nama Dewan Tunku Abdul Rahman sempena nama beliau.
Perasmian Dewan Tunku Abdul Rahman pada 24 Februari 1958
Serentak dengan perasmian Dewan ini telah dilangsungkan Persidangan Jawatankuasa Bangsa-bangsa Bersatu bagi Suruhanjaya Ekonomi Asia dan Timur Jauh (ECAFE) yang merupakan persidangan antarabangsa pertama diadakan di dewan ini. Selepas perasmian Dewan ini, bangunan tersebut telah dikenali sebagai Dewan Tunku Abdul Rahman untuk beberapa dekad.
Semenjak merdeka, bangunan ini telah menempatkan beberapa agensi Kerajaan silih berganti. Yang paling lama mendiami bangunan ini ialah Balai Seni Lukis Negara iaitu daripada tahun 1958 hingga 1984. Balai ini telah dirasmikan oleh Y.T.M Tunku Abdul Rahman Putra pada 27 Ogos 1958. Balai Seni Lukis Negara telah berpindah ke bangunan barunya iaitu bekas Bangunan Hotel Majestic di Jalan Sultan Hishamuddin yang telah diubahsuai pada 21 Mei 1984.
Bangunan ini juga pernah menempatkan Balai Seni Lukis Negara pada tahun 1958-1984
Pejabat Rekod Awam yang kemudiannya dikenali sebagai Arkib Negara pernah menggunakan sebahagian daripada Bangunan Dewan Tunku Abdul Rahman ini sebagai ruang pejabatnya selama setahun mulai tarikh penubuhannya pada 1 Disember 1957. Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja melayu juga pernah ditempatkan di sini pernah dijadikan sebagai Pejabat Kadi Wilayah Persekutuan antara 1974-1979.
Semenjak menjadi tuan rumah persidangan peringkat antarabangsa pertama dalam tahun 1958, banyak peristiwa penting dan bersejarah bagi negara telah dijalankan di bangunan ini. Antaranya ialah pembukaan rasmi persidangan Pertama Persekutuan Tanah Melayu oleh D.Y.M.M Yang di-Pertuan Agong Pertama Almarhum Tuanku Abdul Rahman ibni Almarhum Tuanku Muhammad pada 12 September 1959. Seramai 104 orang ahli Parlimen yang dipilih dalam pilihanraya yang diadakan pada 19 Ogos 1959 telah hadir di persidangan ini. Semenjak tarikh itu. Parlimen Persekutuan telah wujud dengan rasminya sebagai lambang demokrasi yang menjadi amalan hidup rakyat negara ini.
Pembukaan Rasmi Persidangan Pertama Persekutuan Tanah Melayu oleh D.Y.M.M Yang di-Pertuan Agong Pertama Almarhum Tuanku Abdul Rahman ibni Almarhum Tuanku Muhammad
Selain itu, Dewan ini juga pernah dijadikan Balairong Seri untuk pertabalan Duli-duli Yang Maha Mulia di-Pertuan Agong Malaysia yang dilangsungkan dengan penuh adat istiadat. Duli-duli Yang Maha Mulia tersebut terdiri daripada Tuanku Syed Putra ibni Almarhum Syed Hassan Jamallulail yang ditabalkan sebagi Yang di-Pertuan Agong Ketiga pada 4 Januari 1961; Almarhum Tuanku Ismail Nasiruddin Shah ibni Almarhum Sultan Zainal Abidin sebagai Yang di-Pertuan Agong Keempat pada 11 April 1966; Tuanku Abdul Halim Muazzam Shah ibni Almarhum Sultan Badli Shah yang ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong Kelima pada 20 Februari 1971 dan Almarhum Tuanku Yahya Petra ibni Almarhum Sultan Ibrahim yang ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong Keenam pada 28 Februari 1976.
Sekitar pertabalan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Persekutuan Tanah Melayu Yang Pertama Tuanku Abdul Rahman Ibni Almarhum Tuanku Muhammad diadakan pada 2 September 1957
-
24 Feb. 1948
Mesyuarat Pertama Majlis Perundangan Persekutuan Tanah Melayu.
-
15 Jul. 1956
Perasmian bangunan sebagai Markas Tentera Penjajah Inggeris di Tanah Melayu oleh Mejar Jeneral F.H. Brooks, Panglima Angkatan Tentera Persekutuan.
-
1957
Jabatan Kerja Raya membina sebuah dewan bagi kegunaan mesyuarat peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Pelan dewan telah direka oleh En. Dinsdale, Arkitek JKR dan En. Jewkes, Timbalannya. Pembinaan bangunan tersebut menelan belanja sebanyak 750 ribu ringgit.
-
24 Feb. 1958
Dewan ini telah dibuka dan dirasmikan oleh Y.T.M Tunku Abdul Rahman dan dinamakan Dewan Tunku Abdul Rahman serentak dengan perasmian dewan ini telah dilangsungkan satu Persidangan Jawatankuasa Bangsa-bangsa Bersatu Bagi Suruhanjaya Ekonomi Asia dan Timur Jauh.
-
27 Ogo. 1958
Pejabat dan galeri Balai Seni Lukis dirasmikan oleh Y.T.M Tunku Abdul Rahman.
-
28 Nov. 1958
Majlis Jamuan Makan Malam Negara untuk meraikan Perdana Menteri Malaysia.
-
12 Sep. 1959
Persidangan pertama Perlimen Persekutuan Tanah Melayu oleh D.Y.M.M. Yang di-Pertuan Agong Pertama Almarhum Tuanku Abdul Rahman ibni Almarhum Tuanku Muhammad.
-
25 Jan. 1960
Perasmian Persidangan Pesuruhjaya Negeri Jabatan Tanah Melayu oleh D.Y.M.M Yang di-Pertuan Agong Pertama Almarhum Tuanku Abdul Rahman ibni Almarhum Tuanku Muhammad.
-
31 Jan. 1960
Pelancaran Rasmi Minggu Bahasa Kebangsaan oleh Y.T.M Tunku Abdul Rahman, Perdana Menteri Malaysia.
-
4 Jan. 1961
Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ketiga.
-
31 Jan. 1963
Pelancaran rasmi Televisyen Malaysia oleh Y.T.M Tunku Abdul Rahman Putra, Perdana Menteri Malaysia.
-
31 Jan. 1964
Perasmian Muktamar Islam Sedunia oleh Y.T.M Tunku Abdul Rahman, Perdana Menteri Malaysia.
-
15 Jan. 1965
Upacara Pelancaran SEACOM (Sistem Kabel Telekom).
-
11 Apr. 1966
Pertabalan Yang di-Pertuan Agong keempat.
-
1963-1968
Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-raja.
-
11 Jul. 1968
Upacara perasmian penubuhan Majlis ARKIB Antarabangsa Cawangan Asia Tenggara (SARBICA) oleh Tun Abdul Razak, Timbalan Perdana Menteri Malaysia.
-
5 Jan.1970
Perasmian Seminar Pembangunan Antarabangsa Kelima oleh Tun Abdul Razak, Timbalan Perdana Menteri Malaysia.
-
20 Feb.1971
Pertabalan Yang di-Pertuan Agong kelima.
-
5 Dis. 1974
Perasmian rasmi Bank Simpanan Nasional oleh Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia.
-
28 Feb. 1976
Pertabalan Yang di-Pertuan Agong keenam.
-
20 Apr. 1981
Pelancaran rasmi Amanah Saham Nasional oleh Tun Hussein Onn, Perdana Menteri Malaysia.
-
8 Jun 1981
Perasmian Persidangan Pengerusi-pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Daerah oleh Y.A.B Dato' Seri Mahathir Mohamad, Timbalan Perdana Menteri Malaysia.
-
23 Jul. 1983
Perasmian Persidangan Perwakilan Tahunan GERAKAN oleh Y.A.B Dato' Seri Dr. Mahathir Mohamad, Perdana Menteri Malaysia.
Television Malaysia
The official ceremony for the First Parliamentary Seating for the Federation of Malaya by the first King, His Majesty The Late Almarhum Tuanku Abdul Rahman Ibni Almarhum Tuanku Muhammad at the Tunku Abdul Rahman Hall, September 12, 1959.
The Deputy Yang di-Pertuan Agong, His Majesty The Late Almarhum Tuanku Hisamuddiin Alam Shah Ibni Almarhum Sultan Alaiddin officiating the Budget Meeting at the Tunku Abdul Rahman Hall Kuala Lumpur, November 25, 1959. The Prime Minister, Tunku Abdul Rahman Putra, presenting the Royal Address to The Deputy Yang di-Pertuan Agong. Also seated on the Royal Dais is Her Royal Highness Tengku Ampuan.